Monday 12 December 2011

Berfikir Analitikal
Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA

BERFIKIR analitikal adalah suatu kemahiran memberi analisis terhadap kenyataan, pemikiran, tulisan, laporan dan sebab-akibat berlakunya sesuatu. Bila berlaku sesuatu kejadian, kisah dan peristiwa, krisis dan malapetaka, kejayaan dan kecemerlangan, ia menuntut adanya analisis.

Dengan adanya analisis ia memandu seseorang tentang perkara-perkara yang tersirat dan juga tersurat yang kadang-kadang di luar kemampuan orang biasa untuk memahaminya. Berfikir analitikal bertolak daripada asas logik dan mampu meyakinkan seseorang dengan fakta dan data serta hujah-hujah yang menggambarkan sesuatu itu benar atau seolah-olah benar.

Para remaja sejak di bangku sekolah lagi memang diajar berfikir analitikal. Pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Kertas Am, umpamanya, memang mengajar para pelajar bagaimana seharusnya berfikiran analitikal. Apabila cara berfikir analitikal sudah dikuasai sebagai suatu kemahiran, maka para remaja mampu menganalisis isu yang berbangkit. Isu-isu yang berbangkit perlu didekati dengan analisis. Analisis yang dibuat memerlukan hujah, fakta dan data supaya ia boleh meyakinkan seseorang. Berfikir analitikal akan membantu remaja berfikir secara sistematik, teratur, tersusun dengan fakta, maklumat dan data yang baik.

Berfikir analitikal memerlukan ilmu dan maklumat. Tanpa sumber-sumber asas ini analisis tidak akan bermaya malah boleh menjadi tidak logik dan kurang meyakinkan orang lain. Analisis terhadap sesuatu perkara memerlukan dua jenis ilmu.

Pertama, ilmu yang generik atau umum. Kedua, ilmu khusus yang membawa kepada kepakaran dan pengkhususan terhadap sesuatu subjek. Analisis yang umum membawa pendekatan umum dan ia tertakluk kepada bahasan dan penghujahan pihak lain.

Analisis yang khusus berdasarkan kepakaran dan keahlian jauh lebih dihormati kerana asas keahlian menyebabkan kebolehpercayaan wujud. Tetapi lebih ideal sekiranya seseorang itu memiliki ilmu yang generik dan pada masa yang sama mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu yang menyebabkan analisisnya menjadi lebih holistik.

Dalam tradisi Islam, berfikir analitikal adalah sesuatu yang dianjurkan. Sebab itu dunia taawil dan tafsir di kalangan umat Islam amat berkembang. Al-Quran terkandung prinsip-prinsip khusus dan umum yang memerlukan pendekatan taawil dan tafsir. Landasan kemajuan masa lalu disebabkan para ilmuan dan ulamanya berfikir secara analitikal. Analisis tentang ayat diberi secara panjang lebar, dikaitkan dengan dengan sumber-sumbernya dan dihubungkan dengan realiti semasa. Al-Quran bukan bersifat tekstual atau kitab saja, kandungannya merujuk kepada kontekstualiti atau keadaan yang sebenar.

Berfikir analitikal yang dikaitkan dengan al-Quran merujuk kepada kisah-kisah yang banyak terakam. Kisah-kisah itu menjadi ibrah untuk mempedomankan manusia tentang apa yang berlaku pada masa lalu yang bakal berulang semula pada hari ini dan berulang kembali pada masa depan.

Analisis kisah diberi supaya manusia hari ini jangan mengulangi kesilapan masa lalu. Berfikir analitikal memperingatkan manusia supaya terus kekal dan kembali semula kepada fitrah. Tanpa asas fitrah, manusia akan hilang pedoman dan arah. Kehilangan pedoman dan arah menyebabkan manusia menjadi keliru dan celaru.

Para remaja hari ini amat terdedah dengan kehidupan yang berorientasikan Barat. Kita tidak menentang Barat semata-mata kerana ia Barat. Dari sudut penguasaan ilmu dan teknologi, Barat amat cemerlang. Ada faedah-faedah berbanding yang boleh remaja dapati dari Barat. Tetapi apabila proses pembaratan menganjurkan remaja alpa kepada akhlak dan nilai mulia, menyanjung budaya seronok-seronok dan bertunjangkan benda, remaja harus analitikal yang mana satu yang bermanfaat dan yang mana satu boleh menjejaskan akidah, jati diri dan akhlak. Berfikir analitikal boleh membawa remaja ke arah menyaring yang baik dengan buruk, mengenal pasti yang berfaedah dan yang mendatangkan musibah dan akhirnya memandu remaja supaya jangan melampau batas sehingga lupa terhadap diri, tanggungjawab keagamaan dan amanah perjuangan.

No comments:

Post a Comment