Monday, 12 December 2011

Berfikir Holistik
Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA

KEHIDUPAN manusia berjalan dalam bentuk sistem. Pada sistem terdapat pula sub-sistem. Pancaindera yang Allah jadikan mempunyai peranan masing-masing. Antara satu dengan lainya saling berkaitan.

Apa yang dilihat, didengar, dihidu, dirasa dan disentuh berkaitan antara satu dengan lain. Dalam diri manusia terdapat akal, hati, nurani dan jasad. Antara satu dengan yang lainnya saling memerlukan. Tanpa salah satu darinya manusia akan jadi pincang.

Kalau diibaratkan tubuh badan, seluruh anggota adalah berkaitan antara satu dengan lain. Sakit salah satu anggota kesannya akan dirasakan oleh seluruh tubuh badan. Hidup juga diibaratkan seperti sebuah kereta. Setiap bahagiannya mempunyai kepentingan dengan yang lain. Sekiranya tayar kereta pecah, kereta tidak boleh berjalan. Oleh itu setiap bahagian darinya adalah saling memerlukan malah saling bergantungan.

Berfikir holistik bermakna berfikir secara menyeluruh. Berfikir secara menyeluruh tidak menyempitkan seseorang dengan hanya melihat satu faktor sebagai sebab terjadi sesuatu. Atau mendapati satu data saja untuk membuat sesuatu kesimpulan. Berfikir holistik membawa kita meneliti, mengkaji dan membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara atau isu berasaskan maklumat dan fakta yang lebih banyak dan menyeluruh.




Ia mampu membimbing seseorang berfikir dengan betul, mencari pendekatan yang tepat dan menghasilkan natijah yang lebih sempurna.

Tradisi Islam adalah tradisi yang holistik. Konsep jemaah membayangkan wujudnya penyertaan yang lebih ramai untuk membina rasa persaudaraan dan ikatan yang lebih kukuh. Pepatah Melayu juga menyebutkan tentang ‘cubit paha kiri, paha kanan terasa’, ‘ibarat aur dengan tebing’, ‘tepuk sebelah tangan tak kan berbunyi’. Semua ini adalah gambaran pentingnya faktor holistik menjadi pedoman kehidupan.



Berfikir holistik dalam konteks pendidikan anak-anak memerlukan langkah pemerkasaan diri tidak saja dengan contoh peribadi teladan tetapi dengan nilai-nilai cemerlang dalam ilmu, keterampilan dan juga amalan.

Berfikir holistik boleh memimpin remaja menjadi orang yang berpandangan jauh, tidak gopoh dalam membuat penilaian dan keputusan, tidak berfikir secara serpihan tetapi melihat sesuatu secara totaliti atau menyeluruh, berfikir secara futuristik dan diimbangi dengan maklumat, data dan fakta yang lebih seimbang. Berfikir secara holistik tidak saja menjadikan remaja seorang yang berhemah tetapi memiliki kualiti sebagai pemimpin masa depan kerana jenis cabaran pada masa depan adalah jauh lebih canggih.

Pembiasaan terhadap pemikiran holistik sejak awal umur boleh memberi kesan baik terhadap remaja kerana apabila menempuh alam dewasa dan menerima tanggungjawab yang pelbagai, berfikir secara holistik boleh memandu seseorang saksama, strategik dan bijaksana dalam mendepani masalah dan menyelesaikannya. 

No comments:

Post a Comment