Monday, 12 December 2011

Berfikir Logikal
Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA

EDWARD de Bono dalam bukunya,Thinking Course, menyatakan bahawa logik ialah satu cara menjana maklumat daripada sesuatu keadaan. Maklumat yang hendak dijana ialah sesuatu yang benar dan diterima akal.

Berasaskan kefahaman ini bolehlah dirumuskan bahawa berfikir logikal ialah suatu proses pemikiran yang cuba mencari maklumat, ilmu, data dan fakta mengenai kebenaran sesuatu perkara.



Bagi para remaja yang ingin menjana pemikiran, maklumat, ilmu dan kebenaran, pemikiran logikal adalah penting buat mereka. Berfikir logikal akan menyingkirkan faham tahyul, mitos dan perkara-perkara yang tidak mempunyai asas maklumat, ilmu dan data. Ia membimbing remaja kepada perkara yang benar. Kebenaran adalah suluh. Tanpa suluh pemikiran remaja akan gelap. Di situlah lahirnya kejahilan dan kegelapan.

Dalam tradisi Islam, berfikir logikal dikaitkan dengan hikmah. Hikmah adalah sumber daripada Pencipta alam ini. Al-Quran adalah sumber hikmah yang amat hebat. Perkhabaran daripada al-Quran, maklumat yang dirakamkan, kisah yang diceritakan, ilmu yang terdapat, petunjuk yang diberi adalah sumber yang amat bernilai bagi memandu remaja ke arah kebenaran.

Kebenaran yang dijana oleh akal adalah kebenaran yang bersifat zahiri. Akal yang dihubungkan dengan hikmah akan membawa kepada kebenaran hakiki. Kebenaran hakikilah yang dicari oleh manusia kerana ia bakal membimbing manusia menemui fitrah diri. Tanpa fitrah diri remaja hanya berfikir mengenai sesuatu yang berbentuk luaran, zahiri dan tidak memberi makna kepada pemikiran dan hati.

Berfikir logikal secara barat berteraskan asas-asas empiris. Asas empiris hanya menggunakan kekuatan akal, intelek atau minda untuk menanggapi atau membuat kesimpulan terhadap sesuatu berasaskan uji kaji, pemerhatian, pengalaman, kutipan data dan menghubungkan sebab-akibat secara zahiri.

Berfikir logikal secara Islam tidak saja menggunakan pendekatan empiris yang menjana pemikiran terhadap faktor zahiri tetapi di sebalik sebab-akibat terdapat faktor batini yang perlu difahami.

Bila remaja berfikir, bermakna ada sesuatu kekuatan dalam diri remaja yang menyebabkan akal berfungsi. Bila remaja berkata-kata, bermakna ada faktor hayat yang menyebabkan keupayaan bercakap wujud. Bila remaja berlari, bermakna ada sesuatu dalam diri remaja yang memberi kekuatan bagi remaja berbuat demikian. Secara logiknya apabila seseorang itu mati, seluruh sumber kekuatan yang ada pada diri akan hilang dan tidak bermaya.

Apakah yang hilang itu. Yang hilang itu ialah hayat. Hayat manusia dipertahan oleh roh. Logiknya pergerakan tubuh badan adalah kerana adanya roh pada diri manusia yang menyebabkan wujudnya hayat. Apa itu roh dan siapa Penciptanya? Daripada sumber akal, di luar pemikiran logik manusia untuk mengetahuinya. Menerusi hikmah atau al-Quran, Allah memberitahu bahawa roh itu adalah milik-Nya dan yang diketahui oleh manusia tentang roh adalah amat sedikit. Inilah asas berfikir logikal dari sudut Islam yang memberikan kita pedoman batini di samping pedoman zahiri.

Orang-orang Barat berfikir bahawa yang dikatakan logik itu adalah sesuatu yang berasaskan faktor wujud dan maujud. Sekiranya faktor pokok hendak dijadikan asas logik, ia dikatakan wujud dan maujud. Bermakna pokok itu boleh dilihat, dipegang, dibilang dan wujud secara nyata.

Tradisi Islam memberikan pedoman bahawa asas logik tidak saja menghubungkan sesuatu itu wujud dan maujud tetapi ia juga wujud secara batini dan sifatnya ghaib daripada pandangan mata zahir dan tidak semestinya wujud dalam bentuk benda. Tetapi terdapat tanda-tanda dan bukti mengenai kejadian tentang wujudnya sesuatu yang bersifat ghaib.

Alam ini umpamanya adalah bukti yang nyata tentang kewujudan Pencipta kerana logik akal manusia tidak boleh menerima sesuatu itu terjadi dengan sendiri atau sesuatu itu tidak akan terjadi tanpa sebab-musabab.

Kerusi yang kita duduki tidak terjadi dengan sendiri. Ia dibuat oleh tukang. Rumah yang kita diami tidak tegak secara tiba-tiba tetapi hasil tukangan dan bikinan manusia. Kayu yang digunakan untuk membuat kerusi dan rumah asalnya daripada pokok. Siapakah yang mencipta pokok itu. Tidak mungkin pokok itu terjadi tanpa Pencipta seperti tidak mungkin kerusi dapat dibuat dan rumah dapat dibina tanpa tukang. Manusia tidak boleh melakukan penciptaan.

Penciptaan adalah sesuatu yang asalnya tidak ada kemudian menjadi ada. Manusia hanya mampu mereka dan menggubah. Kerusi dan rumah direka dan digubah oleh manusia daripada sumber yang dicipta iaitu kayu yang asalnya daripada pokok. Pokok itu adalah ciptaan Allah. Inilah asas logik yang ada dalam tradisi Islam.

No comments:

Post a Comment