Sunday 11 December 2011

PEMIKIRAN KREATIF, INOVATIF DAN KOMPETEN

Pada akhir-akhir ini, masyarakat yang kreatif dan inovatif amat diperlukan supaya matlamat Modal Insan dapat dicapai untuk pembangunan negara. Dalam usaha menyediakan tenaga kerja yang berkualiti untuk mencapai kecemerlangan negara yang berterusan, mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawau telah membangkitkan Konsep Modal Insan. Hasrat kerajaan adalah tinggi dalam melahirkan generasi pelapis yang berkualiti dan berkompeten dalam menerajui negara ke arah kemajuan yang bakal dicapai terutamanya dalam menghadapi Wawasan 2020. Masyarakat yang kreatif bermaksud masyarakat yang mempunyai kebolehan mewujudkan sesuatu yang baharu sama sekali. 

Masyarakat yang inovatif pula bermaksud masyarakat yang memiliki kemampuan untuk menciptakan sesuatu yang baharu. Sebagai institusi pelajaran, sekolah memainkan peranan penting dalam melahirkan pelajar yang kompeten, kreatif dan inovatif. Menurut mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, Malaysia mempunyai sistem pendidikan yang terbaik dalam kalangan dunia ketiga maka kejayaan yang perlu dicapai mempunyai kaitan dengan cabaran keenam Wawasan 2020 iaitu mewujudkan masyarakat yang saintifik dan progresif, masyarakat yang inovatif dan memandang jauh kehadapan.
 

Pemikiran kreatif dan inovatif dijadikan penguasaan asas ilmu dalam kalangan guru untuk diterapkan kepada pelajar-pelajar. Definisi pemikiran kreatif dan inovatif menurut George, 1970 ialah pemikiran sebagai suatu proses penyelesaian masalah dan perlakuan semulajadi yang kompleks (Edward de Bono,1997). Beliau juga mengaitkan pemikiran kreatif dan inovatif dengan pemikiran lateral yang membawa maksud bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah, malahan juga berfikir untuk melihat sesuatu berdasarkan pelbagai perspektif bagi menyelesaikan masalah. pemikiran kreatif dan inovatif yang dikembangkan dan perlu dikuasai oleh pelajar ialah pemikiran secara kritis dan kreatif. Poh Swee Hiang (1999) menyatakan pemikiran keatif amat penting untuk membentuk warganegara yang tahu dan mampu menggunakan pemikiran mereka dalam menghadapi pelbagai cabaran, tekanan dan perubahan manakala pemikiran inovatif dapat membentuk individu agar mempunyai daya kreativiti yang baik, ideal, imaginatif dan mempunyai unsur-unsur humanistik dan artistik yang tinggi.
 

Apabila kedua-dua kemahiran ini dikuasai oleh pelajar melalui rangsangan dan latihan yang diberi seterusnya pelajar mengaplikasikan dalam corak pembelajaran harian maka pembelajaran yang optimum akan berlaku. Kompeten bermaksud pengetahuan, kemahiran dan sikap yang dimiliki oleh seseorang pelajar untuk meningkatkan kualiti pencapaian pendidikan. Kompeten merupakan satu keperluan yang standard bagi seseorang pelajar mencapai hasil peresekolahannya seperti dapat bersaing secara positif dengan rakan-rakan pelajar dan mereka hendaklah bernilai marketable dan employable apabila mereka meninggalkan bangku sekolah. (Ainon Muhammad, 1996)

Untuk merangsang daya kreativiti murid, sistem pendidikan di negara kita perlu menekankan aspek percambahan idea dalam kalangan murid. Pembelajaran dalam bilik darjah perlu menjadi medan di mana murid-murid dapat mengemukakan idea-idea yang bernas dan seterusnya berkongsi idea ini dengan rakan-rakan yang lain untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat. Percambahan idea ini boleh dirangsang mealui pendekatan pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah atau problem-based learning. Sebagai contoh, seorang guru yang kreatif boleh meminta murid untuk bekerja dalam beberapa kumpulan kecil untuk menyelesaikan sesuatu masalah di sekolah.
 

Sekolah saya sering menghadapi masalah pembuangan sampah yang menjejaskan persekitaran dan suasana pembelajaran di sekolah. Perkara pertama yang perlu saya buat ialah mengenal pasti apakah punca yang menyebabkan masalah tersebut. Setelah menemui puncanya, saya boleh menggalakkan pelajar mengemukakan pelbagai idea untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mereka boleh berbincang mengenai perkara ini, membuat persembahan kepada kelas mengenai saranan penyelesaian masalah, dan seterusnya memilih saranan yang terbaik bagi mengatasi masalah yang dihadapi. Mungkin mereka akan mengemukakan kaedah baharu seperti pengurusan pembersihan sekolah, pemberian insentif kepada murid atau kelas yang paling bersih, atau mencipta alat baharu yang boleh mengatasi masalah pembuangan sampah di sekolah. Aktiviti ini melibatkan beberapa proses pembelajaran penting seperti pencarian fakta (fact finding), pencarian punca masalah (problem finding), pencarian idea (idea-finding) dan akhirnya penemuan penyelesaian (solution finding) yang kesemuanya merangsang daya kreativiti murid.
 

Kesimpulannya, sekolah sebagai organisasi hendaklah memberikan peluang kepada pelajar untuk mencambahkan idea mereka. Dengan percambahan idea, pelajar yang berfikiran kreatif, kompeten dan inovatif dapat dilahirkan.

No comments:

Post a Comment