Friday, 2 December 2011

Kaitan Teori Otak dan Kemahiran Berfikir

Teori empat jenis gelombang otak
Kajian neurosains mendapati otak menghantar maklumat semasa pembelajaran melalui jarak gelombang (frekuensi) yang boleh diukur pada alat yang dikenali sebagai Electroencephalograph (EEG). Terdapat empat jenis gelombang otak yang dikenal pasti iaitu dari jenis yang paling banyak beraktiviti kepada yang kurang beraktiviti. Namun begitu, otak manusia adalah aktif pada setiap masa. Gelombang-gelombang tersebut ialah alfa, beta, delta dan teta.
   













Rajah 1 menunjukkan gelombang dan fungsi setiap gelombang yang berlaku dalam otak bagi setiap individu sama ada dalam keadaan sedar, separa sedar atau tidur.
a.       Delta – gelombang otak ini berlaku semasa tidur nyenyak.
b.      Alfa – gelombang otak ini berlaku semasa otak dalam keadaan rehat, tenang dan jaga.
c.       Beta – gelombang otak ini berlaku semasa otak sedang sibuk berfikir, menelaah pelajaran, menumpu perhatian dan terlibat dalam sesuatu tugasan.
d.      Teta – gelombang otak ini berlaku semasa otak dalam keadaan separuh sedar, dikala hampir tertidur.


Kajian gelombang otak menunjukkan gelombang alfa merupakan keadaan yang paling sesuai untuk menggalakkan proses pembelajaran berlaku. Dalam keadaan ini otak lebih bersedia untuk menerima pembelajaran. Manakala dalam keadaan beta, otak terlalu sibuk menumpukan perhatian dan tiada ruang untuk imbasan intuisi. Tahap kesedaran yang selesa dapat membina pemahaman dan ingatan yang lebih mantap. Justeru, guru harus memprogramkan otak pelajar supaya sentiasa berada dalam keadaan gelombang alfa iaitu gelombang ketenangan sehingga munculnya inspirasi.



             Jadual 1: Fungsi otak kiri (HOKI) dan otak kanan (HOKA).
Otak kiri/Hemisfera kiri (HOKI)
Otak kanan/Hemisfera kanan (HOKA)
Logik dan analitik
Rawak
Urutan
Tidak teratur
Linear
Intuitif
Rasional
Holistik
Lambat
Pantas
Teliti
Visual
Pembelajaran
Kreatif
Hafalan
Dirangsang
Bahasa
Muzik


Menurut De Porter dan Hernacki (1992), otak kiri mengawal proses pembelajaran bahasa, matematik, pemikiran logik, analitik, linear dan hafalan. Manakala otak kanan mengawal aktiviti kreatif, irama, rima, muzik, visual, warna, gambar serta pemikiran metaforikal yang boleh menggambarkan analogi dan metafora, corak serta pola. Ringkasnya otak kanan adalah untuk pembelajaran holistik, subjektif, estetik, kreatif dan berbentuk naluri. Otak kiri pula melakukan pembelajaran objektif dan akademik.
Ramai ahli penyelidik bersetuju bahawa otak kiri lebih mengkhusus dalam memproses maklumat secara menganalisis satu demi satu. Otak kanan pula lebih mengkhusus dalam memproses maklumat secara keseluruhan atau selari. Untuk menyelesaikan masalah matematik, seseorang itu akan membuat pengiraan mengikut langkah yang tertentu. Ini dikatakan proses urutan. Sebaliknya untuk mengenal wajah muka, seseorang itu tidak pernah menganalisis wajah itu dari mulut, hidung dan seterusnya kepada bahagian lain. Seseorang itu melihat wajah secara keseluruhan. Ini dikatakan proses keseluruhan atau selari.

Menurut Dr. Rajendran (2008), kebanyakan individu mempunyai kelebihan dalam salah satu pemikiran sama ada otak kiri atau otak kanan. Namun ada juga sebahagian individu yang memiliki kedua-dua pemikiran otak kanan dan otak kiri secara seimbang. Dalam konteks pembelajaran di sekolah, umumnya pelajar lebih banyak menumpukan usaha kepada aktiviti  otak kiri sahaja, aktiviti otak kanan hampir dilupakan. Menurut Mak Soon Sang (2002), sistem pendidikan hanya menekankan perkembangan otak kiri iaitu membaca, menulis, mengira, menganalisis dan menaakul tetapi jarang memberi perhatian terhadap perkembangan otak kanan seperti latihan dalam bidang muzik, mencongak, seni lukis atau kraftangan. Jika seseorang itu berusaha menggunakan sedikit masa untuk mengembangkan aktiviti otak kanan, otak kirinya akan berfungsi dengan lebih aktif. Banyak kajian telah menunjukkan bahawa kebolehan belajar akan meningkat jika kedua-dua otak kiri dan otak kanan berfungsi sama dalam keadaan yang harmoni. Jika pelajar menghadapi masalah dalam pembelajaran, mungkin kedua-dua otak tidak diintegrasikan secara menyeluruh ataupun sebahagian otak sahaja berfungsi lebih banyak daripada yang sebahagian lagi.

Kesimpulannya, jika seseorang pelajar mengintegrasikan kedua-dua fungsi otak dengan cara yang harmoni, proses pembelajaran akan jadi seronok, daya pemusatan akan bertambah, daya ingatan akan bertambah kuat, penggambaran cara dan imaginasi akan bertambah baik untuk menyelesaikan masalah dan pemikiran akan menjadi lebih kreatif. Justeru sebagai pendidik, perkara ini perlu diberi perhatian agar kedua-dua hemisfera otak kiri dan kanan dapat dimanipulasikan sepenuhnya. Pengintegrasian otak kiri dan otak kanan sangat penting untuk menghasilkan pembelajaran yang optimum.

Teori Otak Triune atau Whole Brain oleh Paul McLean
Teori otak Triune oleh Paul McLean ini menyatakan bahawa keseluruhan otak adalah terlibat dalam melaksanakan pembelajaran. Setiap individu mempunyai cara tersendiri membina pemahaman dan setiap otak adalah unik yang membezakannya daripada individu lain.
Dalam pembelajaran contohnya, otak kiri menumpukan kepada maklumat atau fakta yang diperkatakan oleh pensyarah, manakala otak kanan meneliti bagaimana maklumat itu diperkatakan. Demikian juga bila kita mendengar lagu, otak kiri akan meneliti senikata lagu, manakala otak kanan memproses melodinya. Otak bawah atau sistem limbik pula menerapkan elemen emosi dalam pembelajaran. Secara langsung atau tidak langsung, keseluruhan otak kiri dan kanan terlibat secara aktif dalam pembelajaran. Oleh itu, apabila perkataan digabungkan dengan muzik atau gambar, atau apabila perkataan dikeluarkan dengan emosi, ia akan lebih mudah diingati atau dipelajari. Ornstein (1997) mendapati jika satu hemisfera otak yang lemah digalakkan bekerjasama dengan otak di hemisfera yang lebih kuat, maka hasilnya memberikan prestasi yang lebih baik. Demikianlah orang yang cerdas biasanya menggunakan keseluruhan otak untuk berfikir atau disebut juga sebagai whole brain thinking.
Menurut Triune, otak terbahagi kepada tiga struktur yang besar iaitu:
1.      Pangkal otak atau otak reptilian yang mengawal fungsi-fungsi asas deria motor. Bahagian ini terdiri daripada:
·                   Kerak dalam (pon dan sistem retikular) – mengawal proses hidup.
·                   Medula – mengawal fungsi bukan rela organ-organ utama; tidur dan jaga (arousal)
·                   Serebelum – imbangan/pergerakan.
2.      Otak bawah atau otak mamalia (sistem limbik) yang mengawal emosi, ingatan dan ritma biologikal. Bahagian ini terdiri daripada:
·                     Talamus – pusat kawalan deria.
·                     Hipotalamus – mengawal suhu badan, lapar/dahaga, aktiviti sistem saraf, rembesan hormon oleh kelenjar pituitari dan pusat keseronokan.
·                     Amigdala – pusat keagresifan.
·                     Hipokampus – lokasi pembentukan ingatan

3.      Otak luar (korteks serebrum) yang berfungsi untuk berfikir, mengawal proses penaakulan, bahasa, kepintaran dan kognitif. Bahagian ini terdiri daripada:
·                     Korteks – lokasi kecerdasan.
·                     Neokorteks – mengawal penglihatan, pendengaran, percakapan, pemikiran dan reka cipta. Ia terdiri daripada beberapa bahagian.
Dapatan ini sangat penting kerana di Malaysia guru lebih memberi penekanan terhadap pembelajaran fakta (otak kiri sahaja) dan kurang memberi perhatian kepada perkembangan kreativiti dan estetika (otak kanan). Kini sudah tiba masanya penekanan diberikan terhadap keupayaan keseluruhan otak sebagai ukuran kebolehan pelajar. Bagi melahirkan pelajar-pelajar yang berfikir secara kritis dan kreatif, penggunaan kedua-dua belah otak perlu dikembangkan secara seimbang. Langkah ini boleh dilakukan dengan mengaplikasikan pelbagai aktiviti pembelajaran yang berbentuk kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif sewaktu pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

No comments:

Post a Comment