Tujuan berfikir secara objektif ialah mendapatkan maklumat dan fakta semata-mata. Tidak dinafikan maklumat dan analisis adalah alat yang dapat memainkan peranan penting dalam pengurusan, tetapi analisis tidak menjamin akan timbul jawapan YA ataupun TIDAK, oleh itu apabila para pengurus hendak membuat keputusan, mereka sering mendapati analisis tidak dapat meyakinkan hati mereka keputusan yang diambil itu keputusan yang tepat. Proses mengumpul maklumat ialah proses yang amat lambat, manakala dunia perniagaan berubah dengan begitu cepatnya. Maklumat yang dikumpulkan segera menjadi ketinggalan waktu dan tidak sah lagi. Bagaimana pula dengan maklumat yang tidak disangka perlu dikutip dan di-analisis? Begitu pula dengan maklumat yang tidak berdaya didapat untuk dianalisis? Tanpa kedua-dua jenis maklumat itu, dapatkah analisis ke atas maklumat-maklumat yang terhad dijadikan asas keputusan?
Seseorang itu perlu memastikan idea yang sedang dinilai adalah berdasarkan maklumat dan fakta yang betul. Berfikir secara objektif bererti seseorang itu tidak menggunakan unsur-unsur emosi, cita rasa, prasangka mahupun nilai. Maklumat penting bagi memastikan sesuatu idea itu adalah berdasarkan fakta yang betul. Maklumat penting bagi membuat keputusan yang bermutu. Anggapan bahawa lebih banyak maklumat dapat menghasilkan lebih banyak idea adalah tidak benar. Malah maklumat yang terlalu banyak boleh menyebabkan pemikir tidak berupaya mencipta idea.Apabila berfikir secara objektif, seseorang itu tidak mengemukakan sebarang cadangan, idea, pandangan, kritikan ataupun penilaian. Seseorang itu hanya mencari maklumat semata-mata. Berfikir secara objektif ialah suatu kegiatan berfikir secara logikal. Ia adalah berdasarkan maklumat dan fakta. Reka cipta yang bermutu tinggi adalah berdasarkan fakta-fakta dan maklumat-maklumat yang betul. Anggapan bahawa dengan memiliki lebih banyak maklumat maka keputusan yang dibuat lebih tepat adalah juga tidak semestinya benar kerana pemikir mungkin terkeliru berkenaan maklumat mana yang penting, yang berkaitan dan sebagainya. Oleh sebab itu, keputusan mungkin dibuat berdasarkan maklumat yang salah, yang tidak penting ataupun yang tidak relevan.
Maklumat adalah penting. Ia sangat berguna. Tetapi maklumat tidak dapat menggantikan kemahiran berfikir. Oleh kerana maklumat adalah perkara yang baik, kita sangka lebih banyak maklumat tentulah lebih baik. Ramai orang percaya lebih banyak maklumat dapat membantu seseorang itu mem-buat keputusan yang lebih tepat. Tetapi ini tidak semestinya benar. Maklumat yang banyak dapat menyebabkan sistem menjadi sarat dengan maklumat yang berkecamuk antara yang relevan dengan yang tidak relevan. Keadaan ini dapat me-nyebabkan keputusan menjadi lambat, malah ada kalanya salah. Ia juga dapat menyebabkan sistem menjadi ketat dan tidak fleksibel. Kalau seseorang itu mesti mendapatkan segala-gala maklumat terperinci berkenaan setiap makanan yang dimakan, lama-lama dia lapar dan mungkin tidak berani makan. Semua jenis makanan mengandungi jenis-jenis bahan yang dapat men-datangkan penyakit merbahaya.
Ada kepercayaan yang mengatakan maklumat dapat membantu seseorang itu menemui kebenaran. Lebih banyak maklumat yang kita temui, lebih dekat dia kepada kebenaran. Selepas menjumpai kebenaran dia dapat membuat keputusan yang betul. Ada juga kepercayaan yang yakin bahawa maklumat adalah kuasa. Makin banyak maklumat yang dikumpulkan dan miliki semakin seseorang itu berkuasa. Pada hari ini pun ramai orang yakin aktiviti menganalisis maklumat dengan sendirinya menghasilkan idea-idea baru. Tetapi minda seseorang itu hanya dapat melihat apa yang hendak dilihatnya. Memang betul dengan menganalisis maklumat seseorang itu dapat menerbitkan idea, tetapi idea itu mirip idea lama sahaja, bukan idea-idea baru. Bagi menerbitkan idea baru seseorang itu perlu memandang ke depan dengan menggunakan proses imaginasi dan spekulasi. Menganalisis maklumat ialah aktiviti yang memandang ke belakang, kepada apa yang berlaku pada masa lalu kerana maklumat muncul selepas sesuatu berlaku, tidak sebelumnya. Dengan demikian jikalau analisis menghasilkan idea, idea itu mempunyai kaitan rapat dengan maklumat yang dianalisis, oleh itu idea tersebut tidak bersifat idea baru, tetapi pembaikan idea lama yang sedia ada sahaja.
No comments:
Post a Comment