Pemikiran konstruktif, ataupun membina, ditandai oleh daya usaha bagi memperbaiki sebarang kelemahan yang terdapat pada sesuatu idea. Stail ini digunakan selepas seseorang itu berfikir secara kritikal dan negatif. Stail negatif membolehkan minda melihat perkara-perkara buruk, kerugian, bahaya, risiko dan masalah. Stail kritikal membolehkan minda melihat ke-lemahan, kekurangan, kesilapan, kesalahan dan seumpamanya.
Berfikir secara membina ditandai oleh daya usaha bagi me-lakukan perkara-perkara seperti mengemukakan cadangan-cadangan konkrit bagi memperbaiki lagi sesuatu idea, mencari cara yang lebih baik bagi melakukan sesuatu, mencari cara-cara yang dapat memastikan sesuatu idea itu dapat dijalankan, mengemukakan bukti-bukti tambahan bagi menyokong idea yang ideal, dan mencari cara-cara yang membolehkan sesuatu idea dijalankan dan berjaya. Semua idea dan semua reka cipta tentu mempunyai kelemahan dan sentiasa dapat diperbaiki. Reka cipta yang ada sekarang dan sedang digunakan pun tetap dapat diperbaiki lagi. Pemikiran konstruktif ialah pemikiran yang sangat berguna. Dunia ini maju setiap saat kerana adanya individu-individu yang sentiasa berusaha memperbaiki lagi apa yang sudah baik. Ciptaan-ciptaan baru terbit daripada rasa tidak puas hati terhadap apa yang ada. Pemikiran konstruktif sentiasa mencari-cari cara-cara lain yang lebih baik lagi bagi meng-gantikan idea-idea yang sudah cukup baik.
No comments:
Post a Comment